107 anggota dikerah buru suspek samun di Kajang

107 anggota dikerah buru suspek samun di Kajang

Ekoran kecederaan parah akibat tembakan, beliau percaya suspek tidak mampu melarikan diri jauh dan akan dikesan dalam masa terdekat.

othman nannyan

KAJANG:
Seramai 107 pegawai dan anggota polis dikerahkan untuk memburu seorang penjenayah yang melarikan diri selepas empat rakannya daripada satu kumpulan samun ditembak mati berhampiran Plaza Tol Sungai Long, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP, Othman Nanyan berkata pihaknya menggunakan pelbagai elemen penyiasatan bagi mengesan suspek terbabit yang dipercayai mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

“Lima individu cuba melakukan samun di sebuah rumah di sini, namun gagal sebelum empat daripada mereka ditembak mati di Sungai Sekamat berhampiran Plaza Tol Sungai Long, Kajang.

“Seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri ketika insiden tembakan berlaku dan ketika ini kita sedang mengesan suspek berkenaan yang mengalami kecederaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam.

Katanya, ekoran kecederaan parah akibat tembakan, beliau percaya suspek tidak mampu melarikan diri jauh dan akan dikesan dalam masa terdekat.

Othman berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti empat suspek yang ditembak mati tersebut berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai bergerak aktif melakukan jenayah samun berkumpulan dan bersenjata sekitar daerah ini sejak awal tahun ini.

“Setakat ini 20 kes samun pecah rumah di sekitar Kajang dilaporkan iaitu sebanyak 14 kes di Kajang, Beranang (3), Semenyih (2) dan satu kes di Batu 9.

“Kalau dilihat secara keseluruhan pada lima bulan pertama tahun ini kes samun pecah rumah di kawasan ini meningkat berbanding sebelum ini,” katanya sambil menambah polis telah mengenal pasti kawasan-kawasan ‘panas’ yang mungkin menjadi sasaran penjenayah.

Katanya, terdapat 15 kawasan ‘panas’ yang kini diberi perhatian polis antaranya kawasan perumahan baru di Bandar Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Saujana Impian dan Country Height.

Othman berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menyasarkan rumah-rumah tertentu yang telah dikenal pasti dan mula bertindak pada lewat tengah malam.

“Suspek akan masuk secara paksaan iaitu dengan mengumpil besi jeriji pintu dan menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu rumah mangsa dan bertindak mengikat penghuni rumah sebelum menggeledah rumah terbabit,” katanya.

Bagi mengekang jenayah itu, Othman meminta orang ramai agar segera melaporkan kepada polis jika ada sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan perumahan mereka terutama pada waktu malam.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.