Noh Omar cabar PKR saman Rafizi

Noh Omar cabar PKR saman Rafizi

Dakwaan berlaku rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan pembangkang menunjukkan mereka adalah parti 'cakap tak serupa bikin'.

noh-omar-rafizi-pkr

KUALA LUMPUR:
PKR dicabar menyaman Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berhubung dakwaan berlaku rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar turut berkata, dakwaan rasuah yang diterima Rafizi itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) adalah parti ‘cakap tak serupa bikin’.

“Sebelum dia (PH) berkuasa, kata nak wujudkan kerajaan bersih, tiada rasuah, integriti dan sebagainya. Tetapi apabila dia perintah kita tengok ini maklumat dari dalam.

“Yang ini bukan saya kata, yang ini pihak dia kata. Jadi ini satu perkara yang rakyat kena tengok, PH ini ibarat mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2016 di Pusat Konvensyen Ideal Selayang.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berharap rakyat membuka mata terhadap gejala rasuah yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor di bawah pimpinan PKR.

Beliau juga menegaskan satu-satunya parti yang boleh menyatupadukan rakyat dan mentadbir negara dengan baik adalah BN.

Minggu lalu, perbualan sebuah kumpulan tertutup menerusi aplikasi WhatApps antara Rafizi bersama ahli parti dan penyokong Reformasi tersebar telah tersebar yang memaklumkan beliau mempunyai bukti dan maklumat berlaku rasuah melibatkan sogokan wang dan perempuan ketika berurusan dengan kerajaan Selangor.

Kelmarin, Biro Politik PKR juga membuat ketetapan dengan mengarahkan Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hari ini, Rafizi dalam satu kenyataan memaklumkan beliau akan membuat laporan di pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.30 pagi Isnin depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.