52.5% orang dewasa di Perlis gemuk

52.5% orang dewasa di Perlis gemuk

Sebanyak 20.6% penduduk di negeri itu yang berumur 18 tahun ke atas terdiri daripada penghidap kencing manis dan angka itu merupakan kedua tertinggi di Malaysia.

gemuk

KANGAR:
Sebanyak 52.5% penduduk dewasa di negeri ini mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis, Dr Zaini Hussin berkata, orang ramai sering memberi perhatian dalam pencegahan penyakit berjangkit, namun kurang berwaspada terhadap penyakit tidak berjangkit seperti masalah kegemukan yang turut mengancam nyawa.

“Berat badan berlebihan boleh menjadi punca kepada penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi, penyakit jantung dan kolestrol tinggi selain mudah penat dan pergerakan terbatas.

“Antara punca utama manusia menghidap pelbagai penyakit berkenaan adalah kerana tidak mengamalkan pola pemakanan seimbang serta jarang bersenam,” katanya selepas merasmikan sambutan Bulan Pemakanan Peringkat Perlis di dewan Pejabat Kesihatan Negeri, Utan Aji hari ini.

Selain itu, Dr Zaini berkata, sebanyak 20.6% penduduk di negeri itu yang berumur 18 tahun ke atas terdiri daripada penghidap kencing manis dan angka itu merupakan kedua tertinggi di Malaysia.

Penghidap penyakit tekanan darah tinggi pula sebanyak 35.4% manakala 47% lagi mempunyai tahap kolestrol tinggi.

Justeru katanya, penduduk Perlis perlu mengambil langkah proaktif dan lebih inklusif bagi menangani gejala tersebut khususnya dalam pemilihan makanan serta meningkatkan pengetahuan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini menasihatkan penduduk Perlis agar berwaspada terhadap pembiakan nyamuk Aedes memandangkan perubahan cuaca di negeri ini daripada musim kemarau kepada hujan.

“Pastikan bekas-bekas yang boleh menakung air diselenggara dengan betul agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

“Walaupun situasi demam denggi atau denggi berdarah di Perlis adalah terkawal dan menurun di sesetengah kawasan, amalan menjaga kebersihan terutamanya aktiviti gotong-royong perlu diteruskan,” katanya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.