GLC mungkin dilarang beri derma politik?

GLC mungkin dilarang beri derma politik?

Larangan juga mungkin turut terpakai kepada sumbangan persendirian daripada luar negara, walaupun daripada warga Malaysia sendiri.

GLC

PETALING JAYA:
Kerajaan kini sedang menimbang untuk melarang syarikat berkaitan kerajaan atau mana-mana pihak yang berkemungkinan mendapat manfaat daripada kontrak awam daripada membuat derma politik.

Menurut laporan agensi berita Bloomberg, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata kerajaan bercadang untuk mengetatkan undang-undang berhubung perkara itu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, yang dijangka diadakan pada 2018.

Beliau berkata Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) juga mungkin mencadangkan agar larangan itu turut terpakai kepada sumbangan persendirian daripada luar negara, walaupun daripada warga Malaysia sendiri.

“Kriteria utama adalah untuk mengenalpasti sejauh mana konflik kepentingan yang ada,” kata menteri yang bertanggungjawab dalam soal hak asasi manusia dan integriti itu lagi.

Pada Mac lalu, Low berkata derma politik daripada pihak luar harus dilarang bagi “menghalang pengaruh asing terhadap kedaulatan dan politik negara”.

Isu derma daripada pihak luar ini hangat dibincangkan sejak dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima derma sejumlah RM2.6 bilion daripada pihak Arab Saudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.