“Saya pun dah tak tahu saya ini Cina ke Melayu”

“Saya pun dah tak tahu saya ini Cina ke Melayu”

Haw dikenali oleh penggemar karaoke di sekitar Melaka kerana kehebatannya menyanyikan lagu-lagu Melayu.

karoke

PETALING JAYA :
Seorang lelaki berbangsa Cina digelar ‘raja’ lagu Melayu oleh penggemar karaoke di sekitar Melaka kerana kehebatannya menyanyikan lagu-lagu Melayu.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Haw atau nama sebenarnya How Guan Chee, 53, dikagumi ramai penggemar karaoke sekitar negeri bersejarah itu kerana kesungguhannya mempelajari lagu-lagu Melayu.

Menurut laporan Sinar Harian, Haw mendengar dan mempelajari lagu Melayu semasa berusia 15 tahun dan lagu pertama yang didengarinya adalah lagu Sudirman ketika dalam perjalanan ke Singapura.

“Waktu itu saya kurang rakan Melayu dan dulu bukannya fasih sangat, lebih-lebih lagi nak nyanyi lagu dalam bahasa Melayu. Memang tak lah. Tapi sedikit demi sedikit saya dengar dan suka-suka ikut nyanyi,” katanya.

Bapa empat anak itu berkata, selepas bertemu dengan rakannya Lee Yang yang juga merupakan guru vokal, minatnya pada lagu Melayu menjadi semakin mendalam.

“Dia yang ajar saya sikit-sikit dan yang buatkan saya kagum kerana dia boleh ikut suara perempuan. Lagi satu, dia tak pandai cakap Melayu tapi masih boleh ajar saya nyanyi lagu Melayu dengan lenggok dan muziknya sekali.

“Sekarang saya pula tolong dia ajar vokal kepada sesiapa yang berminat,” jelasnya.

Haw berkata, hampir setiap malam beliau akan ke pusat karaoke di sekitar Melaka bersama rakan-rakannya yang berbangsa Melayu.

“Seronok memang seronok dan saya pun dah tak tahu saya ini Cina ke Melayu,” selorohnya.

Katanya, beliau amat meminati lagu era 80-an dan 90-an terutamanya lagu yang bernada tinggi.

Antara lagu yang sering dinyanyikan olehnya ketika pergi ke pusat karaoke adalah Cinta Kain Putih dendangan kumpulan Putra dan Kembali Terjalin nyanyian kumpulan Slam.

“Sekarang pula saya tengah usaha untuk berentap bersama Siti Nordiana dalam aplikasi Smule,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.