Artifak nabi di Melaka peninggalan asli – penganjur

Artifak nabi di Melaka peninggalan asli – penganjur

Penganjur menjemput mana-mana pihak yang mempertikaikan kesahihan peninggalan itu untuk turun ke lokasi pameran dan berjumpa pakar etnologi, Prof Dr Abd Manan Embong.

barang-nabi

PETALING JAYA:
Kesemua artifak Nabi Muhammad SAW yang dipamerkan di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Melaka adalah 100% asli, kata penganjur Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat.

Timbalan Pengurus ANO Ventures Sdn Bhd, Shahrulnizam Baharudin, keaslian kesemua 40 artifak yang dipamerkan itu – termasuk darah bekam Nabi berusia 1400 tahun – telah dinilai oleh pakar etnologi, Prof Dr Abd Manan Embong yang juga salah seorang individu yang terlibat menjayakan pameran itu.

“Artifak tersebut 100% asli termasuk darah nabi. Sekiranya mana-mana yang tidak percaya mereka boleh datang dan melihatnya sendiri sepanjang tempoh pameran berjalan,” katanya kepada FMT.

Shahrulnizam berkata penganjur tidak akan membawa peninggalan-peninggalan Rasulullah itu ke Malaysia sekiranya tiada kesahihan.

“Boleh berjumpa sendiri dengan pakar, Prof Dr Abd Manan Embong untuk pengesahan. Malah seluruh agamawan yang hadir yakin bahawa barangan tersebut adalah asli.”

Artifak yang dipamerkan menjadi titik perbalahan susulan gambar darah bekam Nabi Muhammad SAW berusia 1400 tahun daripada pameran itu dimuat naik ke Facebook. Ramai yang mempertikaikannya, dan ramai juga yang mempertahankannya.

Merungkai isu ini, Shahrulnizam berkata pengurusan dan penjagaan darah bekam itu dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya tengok darah tersebut seperti darah lama, bukan seperti darah baru dan berada di dalam bekas tersebut tidak pernah dibuka,” katanya berkongsi pemerhatian peribadi dengan FMT.

“Darah tersebut ditemui di India, dan cara penjagaan darah tersebut diuruskan pihak Arab Saudi dan berkemungkinan mereka yang bertanggungjawab bila sampai waktu untuk menukar bekas menyimpan darah tersebut.

“Pihak kami hanya menjaga darah tersebut sepanjang pameran sebagaimana pihak insuran arahkan,” jelasnya.

Lebih 40 artifak barangan peninggalan Rasullah dan tokoh sejarah Islam yang lain dipamerkan antaranya rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, darah bekam, cop mohor dan kain penutup makam baginda sempena Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat bermula 15 Mei sehingga 2 Jun.

Artifak diterbangkan dari Arab Saudi, Syria, India dan Brunei dengan kos keseluruhan RM4 juta. Penganjuran pameran itu dilaksanakan oleh Warisan MAR, Yayasan Pembangunan Insan Nusantara Malaysia menerusi Pakar Etnologi Tempatan, Prof Dr Abd Manan Embong dan ANO Ventures Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.