
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan adanya akta baru itu nanti ia akan memperkasakan AKSEM untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan kawalan sempadan.
“Draf awal telah disediakan penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan kita akan perincikan dengan Bahagian Draf Perundangan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum kita lakukan kerjasama dengan kerajaan negeri yang bersempadanan dengan Thailand sebelum dibawa ke Parlimen.
“Kita perlu dapat maklum balas kerajaan negeri dan rakyat kerana kita nak pakai undang-undang ini untuk tempoh panjang, bukannya singkat dan nanti perlu diubah suai pula,” katanya selepas pelancaran AKSEM di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, AKSEM sedang beroperasi secara pentadbiran berlandaskan punca kuasa Arahan Majlis Keselamatan Negara buat sementara waktu.
Beliau berkata, penggubalan akta baru itu akan membolehkan AKSEM bergerak sendiri dengan lebih menyeluruh dan kawalan sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Ketika ditanya mengenai pembinaan pagar sempadan baru bagi menggantikan pagar lama yang dibina sejak 1970-an, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan melihat daripada pelbagai sudut sebelum ia dibina.
“Kita tidak boleh pandang soal kos semata-mata, tapi lihat berapa banyak masalah kita dapat selesaikan terutamanya berkaitan penyeludupan dadah, senjata serta barangan bersubsidi,” katanya.
Sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan sepanjang 646 kilometer, namun hanya 111 kilometer yang berpagar.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan nama baru AKSEM ialah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dengan SAC Datuk Mohamad Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah AKSEM yang pertama.
Mohamad sebelum ini adalah Ketua Staf Pasukan Khas Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Penubuhan AKSEM diumumkan Ahmad Zahid tahun lepas, dianggotai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
Ahmad Zahid berkata, bagi mengelakkan timbul sebarang masalah khususnya kawalan keselamatan yang longgar di kawasan sempadan, pegawai dan anggota di sempadan akan ditukarkan setiap tiga hingga enam bulan sekali.
“Kita tahu akan jadi masalah kepada keluarga, tapi ia mungkin boleh diatasi…Soal keselamatan tidak boleh dikompromi,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, sejak beroperasi tahun lalu, AKSEM mencatat peningkatan dalam jumlah nilai rampasan barangan iaitu RM42.7 juta berbanding RM19.3 juta pada 2014.
“Ia baru dalam tempoh setahun AKSEM dilaksanakan…ertinya kalau usaha dipertingkatkan, saya yakin banyak lagi kejayaan yang kita akan peroleh.
“Pada tahun 2016 (sehingga 15 Mei), AKSEM telah mengadakan 7,251 operasi dan berjaya merampas barangan seludup bernilai lebih RM15 juta antaranya melibatkan barangan seperti beras, minuman keras dan dadah,” katanya.
Beliau menjelaskan, menyedari tindakan penguatkuasaan merupakan elemen penting bagi memastikan keselamatan dan kawalan di sempadan negara, kerajaan memutuskan jabatan dan agensi penguat kuasa yang bertugas di sempadan bekerjasama menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Ahmad Zahid turut meminta Thailand bekerjasama erat dari aspek perkongsian maklumat dan kepakaran bagi memastikan sempadan negara terjaga.
“Namun untuk menghulurkan kerjasama, kita perlu menterjemahkan dan bekerjasama dalam soal mendapatkan butiran pelan tindakan. Kita perlu tahu kawasan mana kita perlu bekerjasama,” katanya.
– BERNAMA