Ulat di KLIA, klia2 meningkat, babitkan warga asing

Ulat di KLIA, klia2 meningkat, babitkan warga asing

"Ada ulat yang mengenakan caj RM1,800 untuk perjalanan dari KLIA ke Johor Baharu dan balik ke KLIA semula."

ulat-teksi-klia

SEPANG:
Aktiviti ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mencatatkan peningkatan yang membimbangkan iaitu 60 peratus untuk lima bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Nazli Md Taib berkata seramai 31 ulat teksi ditangkap bagi tempoh 1 Jan hingga 21 Mei tahun ini dan dua daripada mereka merupakan warga asing iaitu seorang warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh.

“23 ulat ditangkap di klia2 sementara lapan ulat ditangkap di KLIA. Sebanyak 23 ulat didenda, dua dijatuhi hukuman penjara lima bulan manakala enam lagi ulat akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pagi Selasa (24 Mei),” katanya kepada pemberita di KLIA Isnin.

Jelas Nazli, kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan yang berkaitan dengan menerima sewa atau upah untuk membawa penumpang. Mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, berbanding sepanjang tahun lepas 19 ulat ditangkap di KLIA dan klia2 dan hanya seorang warga asing yang terlibat iaitu warganegara Bangladesh.

Mengulas mengenai faktor yang menyumbang kepada peningkatan ulat di KLIA dan klia2, Nazli berkata peningkatan kemasukan pelancong melalui kedua-dua pintu masuk negara itu dan pendapatan lumayan iaitu sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan menyebabkan warga asing turut tertarik melakukan kegiatan tersebut.

Jelas beliau, bayaran yang dikenakan ulat kepada penumpang terutamanya pelancong yang bercuti atau melawat keluarga di negara ini adalah tidak munasabah.

“Ada ulat yang mengenakan caj RM1,800 untuk perjalanan dari KLIA ke Johor Baharu dan balik ke KLIA semula,” katanya lagi.

Sehubungan itu Nazli menasihatkan orang ramai tidak kira warga tempatan atau warga asing supaya tidak menggunakan perkhidmatan ulat di KLIA dan klia2 kerana mereka menghadapi risiko dirompak, dirogol dan menjadi mangsa peras ugut.

Jelasnya, JPJ Selangor akan terus melakukan Operasi Ulat di KLIA dan klia2 setiap hari bagi membanteras kegiatan tersebut.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.