Parti juga akan menentukan tindakan susulan, termasuk sama ada maklumat tersebut akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya lagi.
“Kemungkinan besar hal ini akan dibawa ke peringkat parti malam esok,” katanya ketika ditemui di Parlimen, dan menegaskan pesanan Whatsapp tersebut merupakan peringatannya kepada semua, termasuk PKR sendiri, bahawa isu rasuah tidak boleh sesekali dipandang ringan.
Beliau juga berkata sudah memiliki bahan bukti berhubung dakwaan mengejutkan itu.
Tangkap layar perbualan di kumpulan Whatsapp ‘SOLIDARITY FOR ANWAR’ tersebar di internet, menunjukkan Rafizi berkata menerima aduan bahawa ada “permintaan perempuan”, selain wang, ketika berurusan dengan kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan sehari kemudian, Ahli Parlimen Pandan itu mengesahkan perbualan tersebut, dan antara lain menjelaskan ia melibatkan individu tertentu dan tidak merujuk mana-mana ADUN atau pegawai kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Rafizi berkata beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap indvidu yang menyebarkan perbualan tersebut, kerana akan mengatakan perkara yang sama walau secara terbuka.
“Pendirian saya tentang apa yang betul dan salah mungkin berbeza dengan orang lain. Saya percaya ahli PKR perlu dilihat ‘lebih bersih daripada bersih’,” katanya.
“Apabila spekulasi seumpama ini timbul dan kita gagal memberikan jawapan yang baik, kita tiada beza dengan 1MDB,” katanya lagi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam reaksinya menyifatkan dakwaan tersebut sebagai bacul dan berniat jahat, serta kempen fitnah terancang terhadap kerajaan serta penjawat awam negeri itu.
Beliau juga mengalu-alukan pihak yang mempunyai bukti terhadap dakwaan itu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.