KPDNKK beri amaran jangan jual barangan tamat tempoh

KPDNKK beri amaran jangan jual barangan tamat tempoh

Hamzah Zainuddin berkata pihaknya tampil dengan ingatan itu selepas menerima pelbagai aduan pengguna mengenai barangan yang dijual hampir tamat tempoh luput.

Hamzah Zainuddin

PETALING JAYA:
Peniaga diingatkan supaya tidak menjual barang-barang yang sudah tamat tarikh luput.

Amaran itu dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) khususnya menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya tampil dengan ingatan itu selepas menerima pelbagai aduan pengguna mengenai barangan yang dijual hampir tamat tempoh luput.

“Kebanyakannya melibatkan hamper yang dijual mengandungi barangan yang hampir tamat tempoh,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kenduri Kampung, di Kampung Changkat Perah, semalam, lapor Sinar Harian Online.

Untuk itu, kementerian akan bekerjasama dengan pihak pasar raya, memastikan barangan yang dijual tidak tamat tempoh luput, berkualiti dengan harga berpatutan.
Dalam pada itu, Hamzah juga berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak mengikut arahan.

“Sekiranya ada kejadian seumpama itu, tindakan selanjutnya akan diambil kepada pihak yang berkenaan.

“Dalam masa yang sama, orang ramai juga perlu bersama-sama membantu menyalurkan maklumat dan memastikan perkara tersebut tidak berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.