Presidennya Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya tidak mahu KTMB menjadi seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang kini menghadapi masalah.
“Seluruh warga KTMB berada dalam keadaan resah bila dengar cerita RAC nak ambil alih untuk tujuan mengembangkan operasi sedangkan mereka hanya pemegang amanah. Tidak lebih daripada itu. Tapi dia cuba meluaskan skop.
“Bagi kami ia tidak wajar dan tidak adil diperlakukan kepada KTMB. Ia menunjukkan seolah-olah kami tidak buat kerja dan tidak memberikan produktiviti yang baik. Ini tidak adil kepada semua warga KTMB,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan bersama kira-kira 500 orang ahli-ahli RUM di Padang Sekolah Kebangsaan Tamil Bangsar di sini hari ini.
Abdul Razak menambah, tindakan pengambilalihan aset yang dibuat oleh RAC itu juga akan menghancurkan KTMB.
Beliau dalam masa yang sama turut ditanya, bilakah pengambilahan aset oleh RAC itu akan dilakukan
“Dia (RAC) sudah beritahu sejak sekian lama, mereka suruh kami bersedia. Tetapi kami tidak boleh terima persediaan itu kerana kajian dan penelitian kami menunjukkan ia satu langkah yang tidak patut,” tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Razak semasa ucapannya turut meminta pekerja-pekerja KTMB diberikan gaji yang munasabah kerana gaji mereka kini adalah lebih rendah daripada kakitangan awam.
“Kalau tidak lebih baik dari kerajaan, bagi sama dengan kerajaan. Kalau semua pun tak boleh bagi, kembalikan KTMB ke sektor awam,” katanya.