Beliau berkata, jumlah masyarakat Islam di negeri itu kira-kira 28% saja.
“Institusi sedia ada seperti mufti, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Majlis Agama Islam Sarawak sudah memadai untuk menjaga hal ehwal Islam. Tidak perlu ada menteri portfolio agama,” katanya kepada FMT.
Katanya, isu keperluan menteri agama tidak relevan kerana urusan seperti pengurusan baitulmal, hukum adat istiadat serta peranan menasihati yang di-pertua negeri dan ketua menteri digalas institusi tersebut.
Dalam pengumuman Kabinet baharu kerajaan negeri, portfolio menteri muda di Pejabat Ketua Menteri (hal ehwal Islam) yang sebelum ini disandang Datuk Daud Abdul Rahman tiada dalam senarai.
Beberapa pihak sebelum ini menyatakan harapan agar bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya yang kini menjadi Adun Jemoreng dilantik sebagai menteri muda memegang portfolio agama.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem juga dilaporkan berkata, Juanda ialah agamawan yang diperlukan Sarawak memandangkan sikapnya liberal dan berpandangan luas.
Awang berkata kerajaan negeri sebaliknya patut mewujudkan Majlis Penasihat Agama Kristian di sana.
“Penganut Kristian di sana ada pelbagai mazhab. Majlis ini boleh berperanan seperti institusi mufti dalam memberikan pandangan berhubung agama Kristian kepada negeri,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung Kabinet baharu Sarawak, Awang juga membangkitkan pendekatan Adenan yang melantik ramai menteri muda mewakili kerusi luar bandar.
“Ini sesuai dengan fokus pembangunan luar bandar beliau. Liwan Dagang daripada etnik Kayan ialah wakil rakyat di Mulu manakala Datuk Gerawat Gala daripada etnik Orang Ulu mewakili rakyat Mulu,” katanya dalam satu artikel.