Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pembelian barangan berkenaan dibuat berdasarkan peraturan Pembelian Darurat yang membolehkan pembelian dibuat segera atau serta merta di mana kelewatan perolehan akan memudaratkan dan menjejas perkhidmatan dan kepentingan awam.
“Semua pembelian terpaksa dibuat serta merta mengikut peraturan Pembelian Darurat. Kalau tidak cukup aset, orang mengadu atau anggota tidak pakai pakaian yang selamat pun orang mengadu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015, Siri 1 yang dikeluarkan semalam, tiga jenis peralatan yang dibekalkan kepada JPAM iaitu 1,010 pasang kasut getah, lapan jet ski dan 64 ‘papan luncur’ adalah berwarna kuning dan bukannya berwarna oren serta tidak dicetak dengan perkataan “HAK KERAJAAN MALAYSIA”.
Berdasarkan spesifikasi, kasut yang dibekalkan mestilah berwarna oren dan dicetak perkataan “HAK KERAJAAN MALAYSIA” bersaiz kecil dicetak di sebelah tepi bahagian atas dalam kasut berkenaan.
Shahidan berkata warna jet ski telah ditukar kepada warna sebenar selepas banjir tanpa sebarang caj dikenakan oleh pembekal manakala kasut telah dicetak dengan perkataan “HAK KERAJAAN MALAYSIA”.
Sementara, itu Shahidan turut menegur beberapa media yang melaporkan JPAM mengalami kerugian sebanyak RM840,000 ekoran kesalahan spesifikasi tersebut.
“Rugi itu dalam bentuk apa? Barang dibeli cuma tidak ikut spesifikasi. Tidak rugi harga apa-apa pun. Semua benda itu digunakan,” katanya.
– BERNAMA
