Hakim Harith Sham Mohamed Yasin menjatuhkan hukuman itu ke atas Yunus Hasyim Yaakub, 29, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Yunus Hasyim didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet di alamat http://www.gazelleone.net secara sedar untuk memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Hairul Anuar Mat Nor.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengawasan Rangkaian SKMM, Aras 6, Menara SKMM 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang pada jam 11.07 pagi 13 Ogos 2015.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu ketika rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Mohd Sophian Zakaria memohon hukuman berat dan setimpal bagi mencerminkan keseriusan kes itu serta memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius. Kami mengambil berat kesalahan melibatkan Internet yang sangat berleluasa.
“Dia menjalankan perniagaan gambar lucah yang bukan sahaja merupakan satu kesalahan dari sisi agama tetapi juga dari segi moral dan undang-undang,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, Yunus Hasyim menjual kartun lucah yang dihasilkannya sendiri melalui laman web dengan bayaran keahlian RM30.
Pelanggan perlu membeli kad pembayaran dalam talian, iaitu MOLPoint atau Pay Pal di kedai serbaneka dan menghantar nombor pin dan nombor siri kad kepada Yunus Hasyim sebelum dia menghantar kata laluan melalui e-mel kepada pelanggan untuk melayari web itu.
– BERNAMA
