Hakim Ibrahim Osman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ng Wei Aik, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya Ibrahim berkata pendakwaan gagal mengemukakan kenyataan asal yang dibuat oleh tertuduh kepada mahkamah.
“Selain itu pendakwaan juga gagal membuktikan perkataan yang diterbitkan tertuduh adalah bersifat menghasut,” katanya.
Hakim itu berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kenyataan yang ditulis tertuduh bersifat menghasut apabila terdapat dua artikel berbeza berhubung tulisan Ng yang diterjemah ke dalam bahasa Mandarin.
Pada 6 November 2015, Ng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Ng didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Kwong Wah Yit Poh Press Bhd, di Lebuh Presgrave, antara 2.20 petang dan 2.30 petang, 10 Februari 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan RSN Rayer manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit.
-BERNAMA
