Syarikat Li Koon tak dapat tender bina asrama pekerja

Syarikat Li Koon tak dapat tender bina asrama pekerja

Tender asrama pekerja itu akhirnya diperolehi Weslite Dormitory (Penang-Juru) Sdn Bhd yang menawarkan harga tertinggi.

LGE-Phang-1

GEORGE TOWN:
Syarikat milik Phang Li Koon yang merupakan bekas pemilik banglo Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak berjaya memperoleh tender membina asrama pekerja di Pulau Pinang.

Ketika menjawab soalan Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga), Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata syarikat Magnificent Emblem yang dimiliki Li Koon gagal dalam tender terbuka untuk projek itu.

“Magnificent Emblem tidak berjaya dalam tender terbuka untuk membeli tanah tersebut kerana tidak mematuhi syarat permintaan untuk cadangan (RFP), bukan sepertimana yang didakwa anasir-anasir tidak bertanggungjawab.

“Tender tersebut akhirnya ditawarkan kepada Weslite Dormitory (Penang-Juru) Sdn Bhd yang menawarkan harga tertinggi.

“Hanya sebidang tanah di Juru yang ditender sedangkan tender di Batu Kawan tidak diteruskan,” kata Guan Eng dalam sidang DUN hari ini.

Kah Peng ingin tahu keputusan EXCO dan Ketua Menteri berhubung penawaran projek asrama pekerja itu.

Guan Eng berkata, sistem tender terbuka ternyata berfungsi di Pulau Pinang kerana hanya tawaran tertinggi dapat memenangi sesebuah tender itu.

Beberapa blog menyiarkan sepucuk surat yang ditandatangani Li Koon menyatakan syarikatnya berminat dalam pembinaan asrama pekerja di Batu Kawan dan Juru.

Pada 13 November 2013, surat dengan kepala surat Magnificent Emblem yang ditujukan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang disiarkan portal Malaysia Today bulan lalu.

Li Koon turut dikaitkan dengan isu lain, iaitu penjualan tanah kerajaan di Taman Manggis dan banglo di Jalan Pinhorn kepada Guan Eng pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Sejak itu, Li Koon dan Guan Eng menafikan terbabit dalam sebarang salah laku transaksi banglo terbabit. Li Koon turut menafikan pembabitannya dalam penjualan tanah kerajaan itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis sedang menyiasat mereka berdua serta isteri Guan Eng, Betty Chew.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.