Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, rakyat Malaysia sepatutnya lebih saintifik, inovatif dan moden, bukannya kekal sebagai sebuah masyarakat yang berpegang kepada kepercayaan karut.
Menurutnya, penghasilan kit anti histeria menunjukkan ada di kalangan rakyat negara ini yang masih terlalu fokus kepada perbuatan khurafat merepek.
“Kita perlu menjadi sebuah masyarakat saintifik bukannya masyarakat berasaskan khurafat. Kita mahu pemuda-pemuda kita menghasilkan sesuatu yang baru, bukannya benda seperti kit anti histeria,” katanya selepas melancarkan Program Jom Belajar Koding (JBK) anjuran Biro Profesional Muda UMNO hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan anak-anak muda khususnya dari kawasan luar bandar dan pinggir bandar mempelajari bahasa koding yang penting dalam bidang teknologi maklumat dan ekonomi digital.
Jelasnya, JBK adalah sebuah program kerjasama Biro Profesional Muda UMNO dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang diketuai Ashran Ghazi serta Persatuan Aspirasi Pemimpin Malaysia.
“Program itu bertujuan memastikan tiada jurang besar antara anak-anak Melayu dengan anak-anak lain.
“Kalau tak mula hari ini, tak tarik minat anak-anak Melayu kepada bahasa digital, maka jurang itu akan makin besar,” katanya.
JBK menyasarkan penyertaan 1,500 hingga 2,000 anak muda berusia 18 hingga 30 tahun untuk mempelajari asas koding atau pengaturcaraan dengan keutamaan diberikan kepada belia luar bandar.
Pada 30 April lalu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan kit anti histeria untuk mengubat serangan histeria yang kerap berlaku di sekolah berasrama atau universiti.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UMP, Dr Mahyuddin Ismail dilaporkan sebagai berkata, kit itu dihasilkan selepas kajian selama lima tahun dan mengikut kaedah Pusat Rawatan Al-Manarah, Rawang yang merawat pesakit histeria dan rasukan.
Jelasnya, kit yang dijual pada harga RM8,750 sekotak itu mengandungi empat bahan, iaitu kayu penyepit, cecair lada hitam, cecair asid formik dan air yang dibacakan ayat al-Quran.
Menurutnya, kit itu telah menjalani percubaan di 11 sekolah di seluruh negara dengan semua pesakit histeria berjaya disembuhkan.