China Press hari ini melaporkan, polis mengesyaki lelaki berbangsa Cina itu mati lemas selepas terlibat dalam aktiviti seks ganas dengan dua lelaki warga asing.
Sehubungan itu, polis giat memburu dua lelaki asing terbabit.
Menurut laporan akhbar itu lagi polis turut menemui dadah, alat menghisap dadah, kondom, minyak pelincir untuk melakukan seks, seluar dalam serta air mineral dalam rumah sewa mangsa.
Sementara itu, Sin Chew Daily hari ini memetik Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor sebagai berkata, polis tidak menolak kemungkinan seorang daripada warga asing itu memasuki negara ini menggunakan pasport palsu.
Ini kerana jelasnya, seorang daripada lelaki asing itu mendaftar diri dengan pengawal keselamatan kondominium itu menggunakan pasportnya, namun hasil siasatan dengan pesuruhjaya tinggi negara terbabit mendapati tiada individu berkenaan.
“Dua lelaki itu memberitahu pengawal keselamatan mahu ke tempat tinggal mangsa, CCTV dalam lif merakamkan mereka memasuki lif tetapi tidak nampak mereka meninggalkan kondominium itu.
“Wajah kedua-dua lelaki itu kacak dan kelihatan seperti orang India, Timur Tengah, Bangladesh atau Pakistan,” katanya sambil menambah mangsa bersama rakannya menyewa rumah itu bulan lalu dan hanya sekali-sekala bermalam di sana.
“Ahli keluarganya memberitahu mangsa keluar dari rumah mereka di Taman OUG, Jalan Klang Lama pada jam 9 pagi Sabtu lalu dan CCTV kondominium itu merakamkan mangsa memasuki bangunan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Manakala dua warga asing itu dirakamkan tiba di kondominium itu pada malam Sabtu dan tidak tahu bila mereka meninggalkan bangunan berkenaan,” katanya.
Semalam, Sharul Othman dilaporkan sebagai berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditemui mati di sebuah kondominium di Sri Hartamas kira-kira jam 12.17 tengah hari Isnin.
Lelaki itu ditemui dalam keadaan bogel dengan mulut dan kakinya berikat manakala alat sulitnya ditutupi kain.
“Pemerhatian awal oleh doktor patalogi daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang memeriksa mayat mangsa di lokasi kejadian mendapati mangsa kemungkinan mati akibat melakukan seks ganas,” katanya semalam.
Menurutnya, bapa mangsa yang gagal menghubungi anaknya itu telah meminta pemilik rumah yang diduduki mangsa memeriksa keadaan anaknya.
Pemilik rumah itu pergi ke tempat kejadian buat kali kedua semalam bersama tiga rakannya serta pengawal keselamatan untuk mengesan mangsa sebelum mendapati mangsa telah mati selepas memecahkan pintu rumah berkenaan.
