Aplikasi ‘Rakyat Responz’ salur aduan, cadangan

Aplikasi ‘Rakyat Responz’ salur aduan, cadangan

Aplikasi inovatif itu membolehkan respons masa nyata terhadap segala isu atau aduan yang disalurkan rakyat.

rakyat-responz

PUTRAJAYA:
Biro Pengaduan Awam (BPA) hari ini memperkenalkan Rakyat Responz, satu aplikasi telefon pintar bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan aduan dan cadangan secara terus kepada agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata aplikasi ini merupakan platform terbaharu, selain Sistem Pengurusan Aduan Awam yang sedia ada, untuk memastikan semua aduan awam dapat diselesaikan dengan cekap, adil dan berkesan.

Beliau berkata aplikasi inovatif itu membolehkan respons masa nyata terhadap segala isu atau aduan yang disalurkan rakyat.

“Selain aduan, orang ramai juga dapat mengemukakan pertanyaan, cadangan dan penghargaan kepada agensi kerajaan. Setiap kementerian, agensi dan jabatan ditetapkan sasaran tempoh masa 15 hari bagi menyelesaikan aduan yang dibuat.

“Ini akan menjadi sebahagian Petunjuk Prestasi Utama mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Rakyat Responz dan Seminar Pengurusan Aduan 2016 di sini.

Low berkata, jaringan dan liputan ‘Rakyat Responz’ merangkumi semua kementerian, jabatan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan.

Katanya, orang ramai boleh memuat turun aplikasi mobil Rakyat Responz daripada pautan https://i.diawi.com/qQixQv sebelum diperluaskan ke App Store, Google Play dan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (Gamma).

Beliau turut menyarankan orang ramai mengambil peluang untuk memuat turun aplikasi ini yang sangat berguna kepada mereka yang hendak menyalurkan aduan, pertanyaan, cadangan atau penghargaan kepada kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPA Datuk Harjeet Singh berkata sepanjang 2015, BPA menerima 6,388 aduan dan daripada jumlah itu, 3,892 aduan (60.9%) adalah terhadap kementerian, jabatan Kerajaan Persekutuan dan agensi.

“Manakala, 2,496 aduan (39.1%) mengenai agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Semua aduan akan diselesaikan dalam tempoh masa 15 hari kecuali aduan kompleks dan isu tanah yang akan mengambil masa lama,” katanya.

Antara aduan rakyat sepanjang tempoh 2015 ialah 39.9% mengenai kelewatan atau tiada tindakan, kegagalan penguatkuasaan (14.7%), kegagalan mengikut prosedur yang ditetapkan (13.1%) serta kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan termasuk kaunter dan telefon (9.7%).

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.