Tolak pindaan Akta sekat kebebasan bersuara- NGO

Tolak pindaan Akta sekat kebebasan bersuara- NGO

Gabungan NGO khuatir pindaan tersebut akan mengenakan sekatan undang-undang terhadap hak rakyat mendapat maklumat, terutama berhubung soal politik.

MCMC

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen digesa menolak pindaan Akta Komunikasi dan Media 1998 yang dijangka akan dibentang pada sesi Parlimen kali ini.

Gesaan itu dibuat oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang khuatir pindaan tersebut akan menyempitkan lagi ruang kebebasan bersuara di Malaysia di samping mengenakan sekatan undang-undang terhadap hak rakyat mendapat maklumat, terutama berhubung soal politik.

“Pindaan ini dibincang dan dirancang ekoran peningkatan kritikan awam terhadap pemerintah melalui platform digital.

“Jika ia diluluskan di Parlimen, beserta pindaan untuk mengetatkan ikat jamin bagi setiap kesalahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (berhubung kegiatan mengancam demokrasi berparlimen), ia akan mengukuhkan lagi sekatan terhadap media,” kata kenyataan dalam kenyataan bersama NGO terbabit.

Sekatan undang-undang itu juga dijangka membawa kesan buruk kepada ekonomi negara, kerana boleh mengancam ekonomi dalam talian negara yang sedang berkembang selain menyebabkan keengganan pelabur asing melabur.

Antara NGO yang menandatangani kenyataan bersama ini adalah Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Amnesty International Malaysia, Lawyers for Liberty dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).

Kenyataan itu merujuk kepada cadangan kerajaan sebelum ini bagi memberi lebih kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengetatkan kawalan internet, antaranya mewajibkan pendaftaran laman dan blog politik serta menaikkan denda bagi kesalahan yang berkaitan dengan penyiaran kandungan ‘yang tidak diingini’.

Katanya lagi, undang-undang berhubung internet sepatutnya dinilai semula bagi tujuan meningkatkan tahap perlindungan peribadi serta menegakkan kebebasan bersuara.

“Kami percaya badan seperti SKMM tidak seharusnya memiliki kuasa untuk menyekat kandungan internet. Ia sepatutnya berpandukan sepuluh matlamat dasarnya, termasuk mewujudkan masyarakat sivil yang sihat serta menjadikan Malaysia sebagai hab komunikasi dan multimedia,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.