Sasterawan Negara bimbang mentaliti peminat novel Melayu

Sasterawan Negara bimbang mentaliti peminat novel Melayu

Masyarakat Melayu berkhayal baca novel 'ringan' sedangkan orang lain sibuk memperteguh pendidikan, kemahiran dan memajukan diri.

KUALA LUMPUR:
Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan meluahkan kebimbangannya melihat novel Melayu ‘ringan’ menduduki carta paling laris di pasaran, bukannya karya-karya sastera yang bermutu tinggi.

Beliau merujuk kepada novel-novel seperti ‘Duda Terlajak Laris’, Mr. Boss, Miss Stalker’ dan ‘Suamiku Encik Gula’ yang disenaraikan d laman web mphonline.com baru-baru ini.

Beliau berkata, kecenderungan pembaca terutama golongan muda untuk memilih bahan bacaan yang menggunakan ‘bahasa slanga’ serta diragui pengisiannya mampu mengganggu pembinaan generasi yang berilmu masyarakat yang bertamadun.

“Apa akan jadi jika kita terus melahirkan masyarakat khususnya Melayu, yang asyik berkhayal sedangkan orang lain sibuk memperteguh pendidikan, kemahiran dan memajukan diri mereka untuk merebut lebih banyak peluang yang ada?” katanya seperti dipetik Bernama baru-baru ini.

Berbanding novel-novel ini yang menurutnya hanya bersifat hiburan dan eskapisme, beliau berkata karya sasterawan seperti Keris Mas dan Shahnon Ahmad yang mampu membuatkan pembaca berfikir tidak pula mendapat sambutan.

Lebih membimbangkan, katanya lagi, karya seumpama ini telah menjadi fenomena apabila ada yang diulang cetak berulangkali dan diadaptasikan menjadi drama dan filem.

“Hal seperti ini tidak pula terjadi kepada novel-novel yang serius termasuk karya sasterawan negara dan sasterawan besar yang lain,” katanya lagi.

Bagi mengatasi perkara ini, Zurinah yang merupakan wanita pertama mendapat anugerah tertinggi sastera di negara ini antaranya menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka lebih ‘kreatif’ dalam menyediakan bahan bacaan yang dapat membentuk masyarakat.

Beliau juga berharap golongan sasterawan dapat menghasilkan bahan bacaan yang mampu menarik minat golongan muda, namun pada masa sama mengekalkan nilai sastera.

“Inilah yang menguji kewibawaan seorang sasterawan. Pujangga Melayu sememangnya bijak menggunakan bahan sastera untuk membentuk masyarakat…Agama Islam sendiri tersebar di Nusantara melalui nazam, iaitu sejenis puisi lama yang disampaikan dengan nyanyian,” katanya lagi.

Katanya lagi, walaupun bahasa akan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, keindahan dan pengisian yang perlu ada pada sesuatu bahasa itu perlu dikekalkan ‘sampai bila-bila’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.