
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata keputusan tersebut dikeluarkan dalam Mesyuarat AJK Kerja PAS Pusat malam tadi.
“Kita tunggu kenyataan rasmi dari PAS Pusat dan PAS Selangor menghormati keputusan tersebut dengan meminta pimpinan dan ahli-ahlinya mematuhi arahan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah ADUN Cempaka itu, jika terdapat ahli atau pimpinan yang dikesan mengeluarkan kenyataan, maka ia akan dianggap sebagai kenyataan peribadi dan tidak kena-mengena dengan PAS atau PAS Selangor.
Semalam, Bendahari PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib telah mengeluarkan kenyataan bahawa akan tetap bertanding dalam PRK Sungai Besar, walaupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan parti Islam itu.
Zaidy yang juga EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, PAS negeri juga telah menyenarai pendek enam calon bagi mewakili parti itu pada PRK Sungai Besar.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh mengundi bagi kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sementara hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.