Polis trafik bersedia hadapi banjir kilat di KL

Polis trafik bersedia hadapi banjir kilat di KL

Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemantauan dilakukan terutama di kawasan yang terlibat dengan projek pembangunan.

polis_banjir_600

KUALA LUMPUR:
Polis Trafik Kuala Lumpur kini bersiap siaga menghadapi bencana banjir kilat seperti yang melanda ibu negara semalam sehingga menyebabkan hampir 100 buah kenderaan terperangkap.

Ketuanya ACP Mohd Nadzri Hussain berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tentang lokasi-lokasi yang berpontensi berlaku banjir.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemantauan dilakukan terutama di kawasan yang terlibat dengan projek pembangunan berhampiran jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar raya di ibu negara.

“Kerjasama polis dan DBKL akan dipertingkatkan bagi aspek pengurusan krisis dan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Nadzri berkata pihaknya akan melaksanakan pelan pengurusan lalu lintas semasa banjir seperti lencongan dan penutupan jalan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya akibat bencana itu.

Beliau berkata pelan itu akan dilaksanakan apabila berlaku hujan lebat berpanjangan dan tanda-tanda akan berlaku banjir teruk di lokasi yang akan dikenal pasti kelak.

Mengulas mengenai keadaan banjir teruk di Jalan Sultan Abdul Halim dan pintu masuk utama Universiti Malaya (UM) semalam, Mohd Nadzri berkata seramai 15 anggota khas kawalan banjir ditugaskan di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Anggota kita turut memberi bantuan menunda kenderaan yang terkandas sejak banjir melanda sehingga air surut.

“Tiada kecederaan dan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan air mulai naik separas pinggang dan berarus deras, mangsa yang terperangkap diselamatkan termasuk seorang wanita yang mengalami sesak nafas,” katanya.
Semalam, sebanyak empat jalan utama iaitu Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu dilaporkan terjejas akibat banjir kilat yang melanda ibu negara kira-kira 7.30 malam.

Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.