
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim berkata, kadar ini dicatat sederhana berbanding 5.7% suku sama pada tahun lepas mungkin kerana kejutan luaran dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih berhati-hati.
“Ia memang dijangka perlahan sebagai impak daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelarasan harga namun separuh kedua dipercayai lebih baik,” katanya yang menjangkakan capaian 4 hingga 4.5% pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini.
“Data menunjukkan kami berada di landasan yang betul dan kami akan mencapai sasaran tersebut,” kata Muhammad, seperti yang dilapor Astro Awani.
Pecahan sektor menunjukkan 5.1% pertumbuhan bagi perkhidmatan, 4.5% bagi pembuatan, 3.8% bagi pertanian.
“Fenomena El-Nino memberi kesan kepada pertumbuhan sektor pertanian pada suku pertama,” katanya.
Pertumbuhan paling baik adalah sektor swasta iaitu 5.3% disumbang pertumbuhan gaji dan pekerjaan.
Nilai Ringgit Malaysia pula pulih 5.9% suku pertama sekali gus mencerminkan asas yang kukuh.
“Rizab antarabangsa kita agak tinggi. Sistem kewangan kita mempunyai kepelbagaian. Pertumbuhan dan pinjaman positif dan kadar infllasi dapat diurus,” tambah beliau.
Walaupun nilai ringgit tidak menentu dalam jangka pendek, dalam jangka panjang ia akan stabil dan dari segi inflasi pula mencatat peningkatan 3.4%.
Ia susulan penghapusan rebat tarif elektrik pada Januari.
Pinjaman isi rumah dan perniagaan juga merekodkan pertumbuhan positif pada 7.6% melibatkan jumlah RM262 bilion dengan kualiti pinjaman bagi isi rumah kekal terkawal dengan pinjaman tertunggak berada pada 6.4% berbanding 7.7% akhir Disember.