
Pengurus Stesen Rayani Air di KLIA2, Zulkalnain Azdan berkata, pihaknya menyokong sekiranya tindakan yang dibuat oleh Ravi itu adalah untuk kebaikan syarikat dan pekerja syarikat tersebut.
“Sebab niat utama semua pekerja…kami ingin bangkit. Sekali gagal tak bermakna gagal selamanya. Jadi kalau ini untuk kebaikan dan untuk bangkit semula, Insyaallah pekerja akan sokong.
“Kita tunggu dan lihat dan berharap keputusan itu baik untuk syarikat dan pekerja,” katanya kepada FMT hari ini.
Mstar Online hari ini melaporkan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara memohon supaya tempoh penggantungan operasi syarikat itu dilanjutkan tiga bulan lagi yang menjadikan keseluruhannya enam bulan.
Ravi berkata, cadangan tempoh tambahan itu dibuat bagi membolehkan pihak pengurusan menjual saham syarikat dan memastikan urusan berkenaan berjalan lancar.
Dalam pada itu, Zulkalnain turut ditanya berhubung kenyataan jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida yang dipetik sebagai berkata, ‘tidak mahu cuci pinggan kotor’ bagi merujuk keengganannya menanggung beban hutang syarikat penerbangan itu.
“Itu saya tak boleh komen. Kena tepuk dada tanya iman… keikhlasan, itu yang penting,” katanya.