Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Selangor Khairil Izzwan Abdul Rahman berkata orang ramai dinasihatkan jangan panik jika haiwan itu masuk ke dalam rumah.
“Sekiranya haiwan itu masuk ke rumah, jangan panik dan cari tempat yang selamat untuk berlindung serta mendapatkan bantuan. Ular tidak akan mematuk manusia melainkan diancam.
“Jika kena patuk, cuba kenal pasti jenis ular yang mematuk itu dan mendapatkan rawatan secepat mungkin,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Khairil Izzwan menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup semua lubang yang boleh memberi ruang kepada ular masuk ke dalam rumah.
Beliau berkata selain membersihkan semak-samun di persekitaran rumah, orang ramai juga diingatkan tidak sesekali mengambil tindakan berisiko kepada diri dan keluarga jika terjumpa haiwan itu di dalam rumah.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, JPAM Selangor menerima 2,019 kes tangkapan ular di seluruh negeri itu, peningkatan 94 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata kebanyakan reptilia berbisa itu ditemui di kawasan perumahan dan sekolah khususnya di sekitar daerah Klang.
“Kesedaran orang ramai mengenai tugas JPAM yang boleh membantu menangkap ular di persekitaran mereka turut mempengaruhi peningkatan laporan kes itu.