Katanya, budaya Jawa sememangnya tidak dapat dielakkan di kalangan pengundi di Sungai Besar yang terkenal dengan sikap patuh kepada pemimpin, bersatu, tidak sabotaj dan kerja kuat.
“Budaya politik Jawa dilihat masih relevan untuk digunakan dalam PRK Sungai Besar. BN boleh menggunakan budaya politik Jawa iaitu bersatu padu bagi mencapai kemenangan.
“Tetapi kekuatan itu juga boleh digunakan pembangkang kerana PAS misalnya, juga ada semangat Jawa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Seminar Sastera dan Forum Politik Sarawak 2016 di Dewan Semarak, Akademik Pengajian Melayu, UM, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas faktor yang membolehkan parti politik menang di dua PRK yang akan datang dan sama ada BN mampu atau tidak mengekalkan kemenangan mereka seperti di PRN Sarawak.
Dr Awang berkata kekuatan BN sebenarnya terletak pada kemenangan dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Katanya, ini kerana kemenangan BN di Sarawak berdasarkan kepada sifat keperibadian Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mesra, prihatin dan peka dengan masyarakat.
“Kemenangan BN di Sarawak lebih kepada faktor dan sifat Adenan. Malah berdasarkan wawancara dengan kaum Cina (di Sarawak), mereka lebih suka kepada Adenan.
“Jika bukan Adenan mungkin suasana tsunami itu tidak akan berlaku,” katanya.
PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan susulan kematian penyandangnya Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Norsiah Kasnon dan Datuk Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter minggu lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya sudah menerima notis daripada Dewan Rakyat berhubung kekosongan kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan akan membuat pengumuman berhubung perkara itu pada 13 Mei.
