Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau menjelaskan, sebaliknya mereka telah diminta berpindah ke rumah atau tanah yang telah disediakan kerajaan negeri untuk mereka dengan ada di antaranya telah berpindah sejak 2013.
“Hanya empat pemilik rumah dan tiga tempat ibadat kecil di dalam rumah tersebut yang dirobohkan,” katanya kepada FMT menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Petang tadi, kira-kira 50 penduduk yang diketuai Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C Sivarraajh berhimpun secara aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah penduduk di Kampung Seri Aman semalam.
Sivarraajh yang mengetuai tunjuk perasaan itu mendakwa, kira-kira 150 penduduk kampung tidak diberikan notis mengosongkan rumah terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa melakukan pengusiran.
Tiga pemimpin MIC, K Parthiban, R Arivind dan D Kajendran turut ditangkap semasa cuba menghentikan proses merobohkan rumah di kampung terbabit semalam.
Mengulas lanjut, Ganabatirau yang juga ADUN Kota Alam Shah berkata, hanya empat pemilik rumah enggan menerima dua lot kediaman dan pertanian yang ditawarkan pemaju rumah mampu milik itu.
Tambahan, pemilik rumah juga telah menolak pampasan sebanyak RM5,000 yang diberikan pemaju.
“Majlis Tindakan Ekonomi Negeri memutuskan supaya empat rumah yang terlibat dalam rizab jalan kerajaan itu diberikan pampasan sewajarnya,” katanya.
Dari segi notis pengosongan rumah pula Ganabatirau menjelaskan, kerajaan negeri telah mengeluarkan dua notis, iaitu pada Julai 2014 dan Januari 2016.