Wanita caci Nabi diarah jalani rawatan mental

Wanita caci Nabi diarah jalani rawatan mental

Rawatan itu bagi menentukan sama ada dia boleh membuat pengakuan bersalah dan waras ketika melakukan kesalahan, atau tidak.

hina-nabi

IPOH:
Seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad di perkarangan sebuah masjid minggu lalu diperintah menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Mahkamah Majistret memerintahkan tertuduh, Tham Yut Mooi, 45, menjalani rawatan itu selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh yang juga seorang ejen insurans dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang, 4 Mei lalu di Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan Tambun.

Dia dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita Harian melaporkan, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah dan mohon dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan manakala tertuduh diwakili peguam, WC Chiang.

Terdahulu, Fadhli memohon mahkamah menghantar tertuduh mendapatkan rawatan mental bagi menentukan dua perkara iaitu sama ada dia boleh membuat pengakuan bersalah atau sebaliknya dan sama ada tertuduh waras ketika melakukan kesalahan.

Katanya, permohonan disokong surat dari Jabatan Psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun iaitu tempat tertuduh menerima rawatan selepas ditahan.

Mahkamah menetapkan 9 Jun untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.