Menurut laporan China Press, sumber itu menegaskan tidak mungkin SPR akan menunggu sehingga atau selepas 24 Jun ini untuk mengumumkan kekosongan kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar bagi mengelakkan PRK berlangsung di dua kawasan Parlimen itu.
“Yang penting bukannya bila sijil kematian (ahli Parlimen) itu dikemukakan, sebaliknya ia ditentukan berdasarkan tarikh kematian dalam sijil itu.
“Lazimnya, Speaker Dewan Rakyat digesa menyerahkan sijil kematian kepada SPR secepat mungkin,” kata sumber berkenaan kepada akhbar berbahasa Cina itu.
Menurut Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun, sebelum tamat sesi Parlimen atau DUN dan PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Jika sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong selepas tempoh tiga tahun daripada tarikh ahli Parlimen mengangkat sumpah atau menghadiri sidang Dewan Rakyat atau DUN buat kali pertama bagi penggal itu, maka PRK tidak perlu diadakan.
Semalam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan PRK Sungai Besar akan diadakan sebelum sambutan Aidilfitri pada Julai nanti.
Ia susulan kematian Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam tragedi helikopter di Sarawak Khamis lalu.
Nahas itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.
