Tren bergesel: Lesen pemandu digantung

Tren bergesel: Lesen pemandu digantung

Abdul Aziz berkata, pergeselan antara dua tren KTMB itu kemungkinan besar berpunca daripada faktor kecuaian manusia.

Datuk Abdul Aziz Kaprawi

PETALING JAYA:
Lesen pemandu kereta api dalam kejadian dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bergesel di Kuala Kubu Bharu digantung.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang dipetik Sin Chew Daily berkata, kejadian itu kemungkinan besar berpunca daripada faktor kecuaian manusia.

Ini kerana jelasnya, sistem Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh ketika itu dalam keadaan baik, selain cuaca baik dan ketampakan juga tinggi.

“Jadi, tidak mungkin pemandu itu tak nampak kereta api yang berhenti di stesen dan mengawal trennya,” katanya yang dilaporkan akhbar berbahasa Cina itu ketika menghadiri sambutan ulang tahun ke-70 Jabatan Pengangkutan Jalan di Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Sehubungan itu katanya, beliau telah mengarahkan KTMB membuat laporan polis untuk siasat kejadian itu dan menghantar pemandu terbabit menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, kejadian itu telah mengakibatkan KTMB terpaksa menanggung kerugian beberapa juta ringgit, termasuk kos pembaikan dan menghentikan perkhidmatan selama dua hari.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata, KTMB telah diarah menubuhkan sebuah pasukan penyiasat khas untuk menyiasat kes itu.

Presiden KTMB, Datuk Sarbini Tijan yang dihubungi FMT berkata, pasukan siasatan khas yang diketuai KTMB itu akan menjalankan siasatan segera dan laporan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

“Kejadian itu bukan perlanggaran, sebaliknya ia hanya pergeselan yang menyebabkan 10 penumpang cedera ringan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Sin Chew Daily melaporkan, perkhidmatan KTM dari Tanjung Malim ke Kuala Kubu Bharu terpaksa dibatalkan buat sementara, susulan penutupan laluan Tanjung Malim ke Kuala Kubu Bharu untuk kerja-kerja pembaikan.

Sehubungan itu, KTMB dalam satu kenyataan menasihatkan penumpang dari dan ke Tanjung Malim serta Kuala Kubu Bharu menggunakan pengangkutan lain ke destinasi masing-masing.

Pada masa sama, perkhidmatan ETS dari Ipoh ke Kuala Lumpur turut terjejas.

Perkhidmatan ETS 9215 dari Ipoh ke Kuala Lumpur akan berhenti di stesen Tanjung Malim dan penumpang perlu menaiki bas untuk pergi ke KL Sentral, manakala penumpang yang menggunakan perkhidmatan ETS 9314 dari Kuala Lumpur ke Ipoh pula perlu menaiki bas dari KL Sentral ke stesen Tanjung Malim sebelum menyambung perjalanan dengan ETS ke Ipoh.

Perkhidmatan ETS yang lain tidak terjejas dan orang ramai boleh menghubungi KTMB di talian 03-2267 1200 untuk maklumat lanjut.

Sebuah tren Ekspres Rakyat dalam perjalanan dari Butterworth ke Johor Bahru dan sebuah kereta api ETS dari Kuala Lumpur ke Ipoh bergesel di KM322 Kuala Kubu Bharu, pada jam 1.45 tengah hari Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.