Akibat tak tahan dibuli, lelaki Vietnam bunuh rakan senegara

Akibat tak tahan dibuli, lelaki Vietnam bunuh rakan senegara

Suspek menikam mangsa di bahagian rusuk kiri menggunakan sebilah pisau lipat serbaguna.

jaafar

SEREMBAN:
Seorang lelaki warganegara Vietnam maut ditikam rakan senegaranya di sebuah kilang besi di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas mangsa Tran Try Ong Thien Lan, 42, dan suspek yang berusia 28 tahun bergaduh.

“Dalam kejadian pergaduhan itu, suspek bertindak menikam mangsa di bahagian rusuk kiri dipercayai menggunakan pisau lipat.

“Kejadian itu disedari rakan sekerja lain sebelum mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Nilai untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.35 petang dan hasil bedah siasat mendapati tikaman itu terkena tepat pada jantung mangsa,” katanya.

Jaafar berkata, suspek kemudiannya ditahan berhampiran kawasan kilang berkenaan, bagaimanapun senjata yang digunakan dalam kejadian itu tidak ditemui.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada mangsa yang sering membuli suspek di kawasan asrama.

“Ekoran daripada kejadian buli yang terakhir, suspek telah datang menyerang mangsa di dalam bangunan kilang dengan menggunakan sebilah pisau lipat serbaguna dan menikam mangsa di bahagian rusuk kiri.

“Suspek telah lari keluar dari kawasan kilang dan kemudian membuang pisau berkenaan di semak kecil di kawasan perindustrian itu yang jaraknya kira-kira 2km,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.