Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata cincin itu ditemui di dalam but kereta berkenaan pada pukul 7.30 malam semalam.
“Saya percaya cincin yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan identiti mangsa yang dipercayai dibunuh kerana mayat mangsa rentung hampir 100 peratus.
“Selain itu, tiada bukti lain yang ditemui di dalam kereta itu dan polis masih meneruskan siasatan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti pemilik kereta bernombor pendaftaran WRT919 itu ialah R. Mathialagan berumur 43 tahun, namun identitinya masih disiasat.
“Hasil semakan polis dalam kes kereta terbakar itu mendapati alamat pemilik kereta berkenaan adalah palsu dan tidak wujud sama sekali.
“Setakat ini polis tidak dapat mengesan pemilik atau waris keluarga pemilik kereta itu manakala mayat mangsa yang terbakar itu kini berada di Hospital Kajang dan akan dihantar ke Hospital Serdang pada Isnin depan untuk dibedah
siasat,” katanya.
Othman berkata menurut saksi di tempat kejadian kereta berkenaan telah berada di sana sejak dua hari lepas.
Katanya, polis hanya menerima laporan kes itu daripada orang awam selepas terhidu bau busuk yang datang dari arah kenderaan itu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mencari ahli keluarga pemilik kereta untuk membantu siasatan,” katanya.
Semalam, sebuah kereta ditemukan telah terbakar di Jalan Genting Pras oleh orang ramai selepas kenderaan itu dijumpai dalam keadaan yang mencurigakan dan di dalamnya terdapat satu mayat rentung.
– BERNAMA
