MAEPS lokasi terbaik tambah baik potensi PBAKL

MAEPS lokasi terbaik tambah baik potensi PBAKL

Sambutan luar biasa di MAEPS membolehkan sasaran 2.5 juta pengunjung PBAKL ke-35 tahun ini tercapai.

Ishak-Hamzah

SERDANG:
Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini yang lebih luas dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk mengembangkan potensi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berbanding Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malah, penganjurnya yakin pemindahan lokasi pesta itu akan membolehkan gerai pameran dapat meningkat sehingga 1,200 unit pada 2018.

Pengerusi Bersama PBAKL, Ishak Hamzah berkata penganjuran kali pertama PBAKL di MAEPS tahun ini menerima sambutan luar biasa dengan 1.2 juta pengunjung setakat hari ke-7.

PBAKL 2016 berlangsung pada 29 April hingga 9 Mei depan.

“Penganjuran di PWTC sudah capai tahap maksimum dan tidak boleh berkembang lagi. Jika kita lihat dari sudut jumlah gerai pula kita ada 800 gerai tahun ini.

“Pada tahun depan kita akan tambah kepada 1,000 gerai dan menjelang 2018, kita boleh sedia 1,200 gerai.

“Di MAEPS kami menyediakan tiga dewan besar yang memberikan keselesaan kepada pengunjung untuk berjalan dari satu gerai ke gerai lain kerana laluannya lebih luas, tidak sempit seperti di PWTC,” katanya.

Katanya, sambutan luar biasa pengunjung juga membolehkan peserta tempatan dan luar negara memperhebat promosi buku mereka pada PBAKL kali ini.

Ishak berkata, selain penambahan gerai, penganjur menyediakan sehingga 7,000 petak tempat letak kenderaan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

“Kami juga menyediakan banyak tempat rehat bagi kemudahan pengunjung membaca dan bersantai.

“Penyediaan gerai makanan yang banyak juga memberi pilihan kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai juadah,” katanya.

Sasaran 2.5 juta pengunjung PBAKL 2016 boleh dicapai

Sementara itu, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Abd Wahab Ibrahim berkata mereka yakin sasaran PBAKL tahun ini untuk mendapatkan 2.5 juta pengunjung boleh dicapai.

“Kita tidak jangka sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kita jangka jumlah pengunjung akan lebih hebat berbanding penganjuran di PWTC.

“Sehingga hari ini lebih sejuta diterima. Semalam saja kita terima hampir 300,000 pengunjung. Pada hujung minggu pula hampir 400,000 pengunjung. Ini amat memberangsangkan,” katanya.

Kekurangan pengangkutan awam bukan isu utama

Ishak berkata pihak percaya masalah kekurangan pengangkutan awam di MAEPS bukan isu utama yang menghalang pengunjung ke PBAKL.

“Kita bekerjasama dengan syarikat bas Nadi Putra untuk membawa pengunjung ke PBAKL.

“Pengunjung dari KTM Serdang, LRT Bukit Jalil dan ETS di Putrajaya boleh menaiki bas Nadi Putra yang akan menghantar mereka terus ke MAEPS secara ulang alik.

“Bayaran yang dikenakan hanya RM1 untuk satu perjalanan. Ia sangat murah,” katanya.

Kemudahan kepada pengunjung negeri lain ke PBAKL

Ishak berkata pemilihan penganjuran di MAEPS kali ini secara tidak langsung memudahkan pengunjung dari negeri lain datang ke PBAKL.

Katanya, penganjuran di MAEPS memudahkan pengunjung dari sekitar Negeri Sembilan dan Putrajaya ke pesta itu.

Pengunjung dari negeri lain juga tidak perlu masuk ke Kuala Lumpur dan menempuh kesesakan jalan raya kerana boleh terus ke MAEPS.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melawat laman web rasmi www.kualalumpurbookfair.my .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.