Calon BN Piasau didakwa ‘ceroboh’ sidang media calon DAP

Calon BN Piasau didakwa ‘ceroboh’ sidang media calon DAP

DAP tetap menerima kedatangan Sebastian dan sekali lagi mencabarnya berdebat, tetapi dia pula dikatakan hanya datang untuk 'memberikan alasan'.

Sebastian-Ting_Alan-Ling-Sie-Kiong_sarawak_600

MIRI:
Walaupun debat antara penyandang DUN Piasau, Alan Ling Sie Kiong (DAP) dengan lawannya daripada BN, Datuk Sebastian Ting (SUPP) tidak terlaksana, persengketaan antara mereka masih tidak berakhir.

Malah menurut Alan, selepas tidak bersetuju dengan syarat debat, Sebastian bertindak ‘menceroboh’ sidang medianya bersama beberapa ahli SUPP dan wartawan.

Walaupun debat tersebut telah dibatalkan, Setiausaha DAP Sarawak berkata beliau berada di tempat yang dijanjikan untuk mengadakan sidang media bagi menjelaskan keadaan.

“Tiba-tiba Sebastian datang tanpa memberitahu, siap bawa wartawan bersamanya. Bukankah beliau sudah berkata tidak mahu debat?” katanya kepada FMT.

Namun, Alan berkata pihak DAP tetap menerima kedatangan Sebastian dan sekali lagi mencabarnya untuk berdebat, tetapi Setiausaha Agung SUPP itu pula dikatakan hanya datang untuk ‘memberikan alasan’.

“Anda tidak menceroboh sidang media orang lain hanya untuk menyelamatkan air muka. Kalau kita buat perkara sama tentu dia pun marah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Alan telah menetapkan debat di Hotel Mega pada 5 Mei lalu, selepas Sebastian menyahut cabarannya.

Namun, laporan the Star Online pada 4 Mei lalu melapor, ia dibatalkan selepas kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju sama ada isu nasional termasuk dalam topik perdebatan.

Laporan Bernama pada 5 Mei pula berkata, debat tersebut tidak dapat diteruskan ekoran tiada permit.

Beliau berkata, Sebastian telah melepaskan peluang untuk menunjukkan pendiriannya kepada pengundi.

“Kami setuju untuk berdebat tentang apa yang telah kami buat dan perancangan lima tahun. Tetapi pengundi juga ingin tahu pandangan kami tentang isu GST, siapa yang boleh pertahankan autonomi. Jangan sempitkan kepada isu tempatan sahaja.

“Kita ingin memilih pembuat dasar, bukan kontraktor. Bagaimana anda mahu pertahan hak rakyat di DUN nanti?” soalnya lagi.

FMT sedang cuba menghubungi Sebastian untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.