Perkara itu jelas kelihatan sekurang-kurangnya di DUN Marudi. Apatah lagi selepas BN Sarawak seolah-olah ‘terlupa’ menggunakan kaedah ‘calon langsung’ untuk mencalonkan semula penyandang Datuk Sylvester Entri Muran yang sudah empat penggal menjadi wakil rakyat di sana.
Jika kebanyakan penyandang dari UPP dan Teras – parti serpihan komponen BN iaitu SUPP dan SPDP – dilantik semula di kawasan masing-masing sebagai calon langsung BN, Sylvester yang keluar SPDP untuk menyertai Teras digugurkan dalam pilihanraya kali ini.
BN sebaliknya memilih ‘muka baru’ Datuk Dr Penguang Manggil untuk bertanding di sana. Penguang sebelum ini adalah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak sebelum bersara daripada perkhidmatan awam.
Bagi penganalisis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, langkah tersebut tidak disenangi kebanyakan pemimpin masyarakat yang setia kepada Sylvester, dan bakal menyebabkan BN kehilangan kerusi tersebut pada pilihanraya kali ini.
“BN mungkin akan kehilangan kerusi di Marudi. Sudah lama Sylvester Entri menjadi wakil rakyat di sana, dan kebanyakan tuai rumah setia kepadanya.
“Maka mereka ini yang tidak puas hati dengan pengguguran Entri akan membuat protes (pada pilihanraya ini),” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya itu menyifatkan sokongan tuai rumah amat bernilai, memandangkan pengaruh mereka yang besar di kalangan penduduk rumah panjang.
“Tuai rumah bergerak di peringkat akar umbi dan sentiasa di rumah panjang, maka mereka mampu mempengaruhi penduduk rumah panjang berhubung apa-apa isu.
“Sokongan tuai rumah terhadap calon tertentu akan mempengaruhi mereka,” katanya lagi.
Namun katanya lagi, BN tidak akan berdiam diri melihat perkara itu dan akan membuat kempen besar-besaran dalam tempoh terakhir kempen di Marudi dan kawasan-kawasan ‘bermasalah’ yang lain.
Pada tahun 2004, kerajaan negeri meluluskan Ordinan Ketua Masyarakat 2004 bagi membolehkannya melantik ketua masyarakat termasuk tuai rumah, yang sebelum itu dipilih sendiri oleh penduduk. Namun secara amalannya, ketua masyarakat dipilih oleh wakil rakyat sebelum dilantik secara rasmi oleh kerajaan negeri.
Amalan ini membantu BN mengekang kemaraan pembangkang di kawasan pedalaman, misalnya apabila ada kes anggota PKR ditampar tuai rumah apabila berkunjung ke rumah panjang bersama ahli parti lain.
Namun kali ini dampaknya berbeza.
Calon PKR Elia Bit sebelum ini dijemput oleh tuai-tuai rumah yang tidak berpuas hati dengan pencalonan Penguang untuk ke rumah panjang mereka dan bertemu penduduk di sana.
Malah sekumpulan penduduk memberitahu FMT bahawa mereka akan memberi sokongan kepada Elia pada 7 Mei ini sebagai protes kepada pengguguran Entri.
Walaupun kesetiaan tuai-tuai rumah ini memberikan kelebihan kepadanya, graduan Sarjana Perang Saraf Media dan Informasi itu tetap tidak selesa dengan budaya kesetiaan kepada pemimpin yang ditunjukkan.
Dalam wawancara bersama FMT pada 23 April lalu, beliau berkata BN telah memanipulasikan budaya masyarakat Dayak yang setia kepada pemimpin dan salah satunya melalui Ordinan ketua Masyarakat 2004.
“Perkara ini perlu diubah. Sebab itu sepanjang bergiat di sini, saya turut menerapkan aspek-aspek demokrasi dan hak rakyat kepada masyarakat.
“Jika saya menang, saya tidak mahu mereka setia dengan saya sepertimana dengan pemimpin sebelumnya. Saya mahu mereka mengkritik jika saya membuat salah,” katanya lagi.
Selain Penguang dan Elia, turut bertanding di DUN Marudi adalah calon bebas Luois Jalong. Pada PRN 2011, Sylvester menang selesa dengan kelebihan 3,202 undi dalam pertembungan empat penjuru menentang calon PKR, SNAP dan bebas.