Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya meneruskan usaha untuk memastikan mereka diselamatkan.
“Kami percaya kedudukan mereka (mangsa culik) bergerak dari semasa ke semasa untuk mengelak dikesan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, lapor Bernama.
Empat warga Malaysia Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Semporna, Sabah ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Filipina pada 1 April lepas.
Keempat-empat mangsa dari Sibu itu adalah kru kapal ‘Masfive 6’ yang mengangkut balak dari Malaysia ke Manila, Filipina.
Terdahulu, Khalid menyampaikan PKN kepada 200 pegawai dan anggota pasukan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, termasuk Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin dan Unit Udara PDRM.
“Ia adalah penghargaan kerajaan kepada pegawai dan anggota keselamatan yang telah terlibat dalam operasi ‘Op Daulat’ semasa insiden pecerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013,” katanya.