Seorang pembantu peribadi memberitahu Wan Azizah tiba di lapangan terbang Sibu malam tadi tetapi perlu meninggalkan Bumi Kenyalang pada 5 Mei, iaitu dua hari sebelum hari pengundian.
Wan Azizah mulai berkempen dalam usaha memperkuatkan kedudukan partinya dalam Dewan Undangan Negeri, namun pertembungan dengan parti sekutu, DAP, di enam kerusi menantinya.
PKR dan Pengerusi Perhubungan Sarawak, Baru Bian dihentam pimpinan DAP kerana tidak mahu bertolak ansur dalam pertikaian kerusi ini. DAP, yang merampas beberapa kerusi bandar pada 2011 berusaha untuk memasuki kerusi-kerusi majoriti Dayak dan di pedalaman dengan harapan untuk merampas kuasa dalam pilihan raya negeri 2021.
Wan Azizah dijangka melawat beberapa kawasan sekitar Sibu sebelum pulang ke ibu negara malam ini.
Ramai pemimpin pembangkang dan aktivis dihalang masuk ke Sarawak sepanjang tempoh berkempen atas arahan daripada Ketua Menteri, yang tidak mahu unsur-unsur tidak baik menggugat keharmonian kaum dan agama di Sarawak.
Sarawak diberi kuasa autonomi keatas Imigresen, yang bertujuan untuk menghalang kebanjiran peneroka dan pekerja dari negeri-negeri lebih membangun di Semenanjung.