Demikian gesaan yang disampaikan oleh Setiausaha Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Kesavan PS yang mahu RM36 bilion dikumpul sejak sistem percukaian kontroversi berkenaan digunakan untuk pelaksanaan pendidikan percuma.
“Itu jumlah kutipan tahun lalu dan dijangka akan meningkat lagi tahun ini. Kenapa tidak boleh gunakan sebahagian hasil GST itu untuk pendidikan percuma?
“Kerajaan tiada alasan untuk tidak melaksanakan pendidikan percuma kerana wang yang dikumpul menerusi GST cukup banyak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PSM, di sini, hari ini.
Katanya, pendidikan percuma bermula daripada pra sekolah sehingga pengajian sarjana muda di universiti boleh dilakukan dengan wang hasil kutipan GST.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada polemik 1.25 juta peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).
Minggu lalu, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dipetik berkata, peminjam tegar itu bukan sahaja disenaraikan dalam CCRIS oleh PTPTN malah oleh pelbagai institusi kewangan lain.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM, Nik Aziz Afiq Abdul membidas kegagalan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membela nasib golongan muda yang gagal membayar pinjaman PTPTN dan disenarai oleh CCRIS.
Katanya, Khairy perlu tampil membela golongan berkenaan dan beliau selaku menteri dan Ketua Pemuda UMNO wajar mengemukakan cadangan untuk membolehkan pembayaran pinjaman oleh generasi muda dilakukan.
“Kita tahu ekonomi sekarang tak berapa bagus dan banyak kilang tutup, perniagaan terjejas, yang mana lepasan universiti hilang kerja atau gagal dapat kerja.
“Kos sara hidup pun mahal. Macam mana anak muda boleh bayar pinjaman PTPTN? Khairy sepatutnya bela mereka ini,” katanya.
Katanya, wang dikumpul menerusi GST adalah peluang terbaik kerajaan untuk membantu golongan muda dan sekaligus melaksanakan sistem pendidikan percuma.
