Ini ekoran pemantauan dan penyiasatan Kementerian Dalam Negeri terhadap mereka yang dipercayai terlibat dengan aktiviti meluaskan pengaruh Kesultanan Sulu di Sabah.
Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa kelima-lima yang ditangkap itu sedang disiasat.
“Kita lakukan pengumpulan maklumat risikan yang amat mendalam di Sabah, dan sentiasa berwaspada terhadap tindakan kumpulan pengganas ini kerana mereka pernah menyerang negara kita,” katanya, lapor Bernama.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chin Su Phin mengenai tindakan kerajaan terhadap pengganas Sulu yang dipercayai melantik ‘panglima’ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam usaha membentuk semula Kesultanan Sulu di negeri itu.
Pendedahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menggulung usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu.
Nur Jazlan juga memberitahu, pihaknya berkerjasama erat dengan agensi perisikan Sabah bagi memastikan maklumat dikongsi dan tindakan boleh diambil dengan segera.
Bukan itu sahaja malah kerjasama perkongsian maklumat dengan agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan masyarakat juga sedang dilaksanakan bagi mengekang aktiviti keganasan di Sabah.
