
Bagaimanapun sebahagian besarnya bagi tujuan pengumpulan aset dan kekayaan merangkumi pinjaman pembelian harta tanah serta pelaburan aset kewangan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, memberitahu Dewan Negara, daripada jumlah itu, sebanyak 56.2 peratus adalah pinjaman pembelian rumah dan harta tanah untuk kediaman dan bukan kediaman manakala 15.5 peratus bagi pembelian kenderaan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Norliza Abdul Rahim berkenaan laporan kira-kira 68 peratus rakyat Malaysia dibebani hutang dan menjadikan Malaysia tertinggi dalam kalangan lapan negara Asia.
“Permintaan bagi pembelian harta kediaman dan kenderaan dijangka berterusan untuk beberapa tahun akan datang berikutan tahap pendapatan rakyat yang meningkat seiring kepesatan prestasi ekonomi negara serta aspek pembandarannya.
“Keyakinan pembayaran balik pinjaman itu dicerminkan oleh tahap pinjaman terjejas yang rendah iaitu 1.1 peratus serta pemilikan aset harta yang harganya lebih tinggi pada masa akan datang dan membolehkan isi rumah berkeupayaan membeli aset melalui pinjaman,” katanya, lapor Bernama.
Chua menambah, keadaan guna tenaga dan tahap pendapatan yang kukuh serta kestabilan penampan kewangan agregat isi rumah dengan nisbah aset kewangan isi rumah kepada hutang adalah dua kali lebih tinggi daripada hutang isi rumah.
Kerajaan juga katanya, sentiasa memberi perhatian khusus terhadap keberhutangan sektor isi rumah yang tinggi dan pelbagai langkah progresif dilaksanakan bagi membendung kenaikan hutang sektor itu sejak 2010.
“Ia bagi memastikan tahap keberhutangan sektor berkenaan kekal terkawal, tidak menjadi satu sumber kestabilan kewangan pada masa hadapan selain memastikan amalan pengurusan kredit secara berhemat, katanya.