Gabenor BNM baru perlu selesaikan kemelut 1MDB

Gabenor BNM baru perlu selesaikan kemelut 1MDB

PAS yakin Gabenor BNM yang baru mampu mengembalikan kedudukan kewangan negara dan kepercayaan rakyat

tuan-ibrahim-1mdb

PETALING JAYA:
Pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara (BNM) kelapan, bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz disokong penuh PAS.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelantikan Muhammad mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kedudukan kewangan negara.

Bagaimanapun, katanya, Muhamad perlu menyelesaikan kemelut 1MDB yang belum selesai.

“PAS mengalu-alukannya pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim selaku Gabenor BNM yang baru.

“Tugas besar yang menanti beliau ialah memperteguhkan peranan Bank Negara. Beliau (Muhamad Ibrahim) juga akan menjadi fokus rakyat bagi melihat perjalanan 1MDB yang masih bergelut dengan pelbagai isu yang sentiasa muncul, lebih-lebih lagi apabila 1MDB kini dalam keadaan ingkar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Zeti di atas sumbangannya terhadap kepimpinannya dalam BNM.

Beliau turut memuji tindakan Zeti yang mendesak kerajaan melantik Gabenor baru bukan daripada kalangan ahli politik.

“Kepada Tan Sri Zeti, PAS mewakili rakyat mengucapkan tahniah atas hasil kerja dan prestasi BNM yang cukup memberangsangkan serta takziah kerana meninggalkan BNM dalam keadaan kemelut 1MDB belum selesai.

“Selamat bersara bagi Tan Sri Zeti dan selamat bertugas bagi Datuk Muhammad Ibrahim. Semoga kalian sentiasa dalam bimbingan Ilahi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.