Usul tolak Najib bukan dibuat di kedai kopi

Usul tolak Najib bukan dibuat di kedai kopi

Sazmi meminta Hanafi menjelaskan saluran mana yang sesuai untuk menolak kepimpinan Najib.

machang
PETALING JAYA: Usul menolak Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden oleh UMNO Cawangan Lepan Simpol dan Banggol Judah tidak melanggar peraturan parti.

Sebaliknya, usul itu dikemukan menerusi mesyuarat dan bukannya dilakukan di kedai kopi, kata Ketua UMNO Cawangan Lepan Simpol, Datuk Sazmi Miah.

“Kita hanya buat usul sebab ia dibenarkan dalam parti dan kita buat usul ini bukan di kedai kopi, tetapi di dalam mesyuarat. Kita rasa ia sesuai dan mengikut saluran, sebab selalunya kita dengar, alasan adalah tidak buat mengikut saluran,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat menyatakan dua cawangan tersebut akan dikenakan tindakan.

Ia disebabkan langkah mereka yang dianggap tidak mengikut saluran ditetapkan perlembagaan dan peraturan parti, selain dipercayai bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya UMNO.

Mengulas lanjut, Sazmi melahirkan rasa hairan mengenai kenyataan Hanafi yang menunjukkan seolah-olah tindakan akan diambil terhadap sesuatu keputusan yang dibuat.

Katanya, beliau masih sayangkan UMNO dan merupakan ahli tegar parti Melayu itu tetapi usul tersebut dikemukakan apabila melihat Najib membawa liabiliti kepada parti.

“Kalau kita buat usul benda-benda yang tidak kena dengan kehendak parti dari segi tidak menyokong, tindakan akan diambil. Penatlah macam ini.

“Ini adalah peluang, setahun sekali sahaja kita adakan mesyuarat. Pada saya dia (Hanafi) kata tidak mengikut saluran itu tidak betullah. Inilah saluran yang betul di mesyuarat parti,” tegas beliau.

Tidak terhenti di situ, Sazmi yang mempunyai 170 orang ahli di cawangannya meminta Hanafi menjelaskan saluran mana yang sesuai dan boleh diikut untuk membawa usul menolak kepimpinan Najib di dalam parti.

“Saya nak tanya dia balik, saya nak tanya saluran mana lagi yang boleh selain kita buat usul di peringkat cawangan, nak suruh saya bercakap kedai kopi, nak suruh saya pergi mengadap yang kita tidak suka dia (Najib),” ujarnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.