Pertelagahan DAP-PKR beri kelebihan pada BN

Pertelagahan DAP-PKR beri kelebihan pada BN

Pengerusi DAP Sarawak menjangkakan pecah undi dan kelebihan untuk BN di kawasan-kawasan yang direbut PKR dan DAP.

chong-bn

KUCHING:
Pengaruh Pembangkang di Batu Kitang telah terhakis ekoran perbalahan kerusi antara DAP dan PKR, kata Chong Chieng Jen.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata pertembungan tiga penjuru di beberapa kerusi akan membawa kepada pecah undi yang mungkin memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Di Batu Kitang, sokongan pengundi dijangka berligar sekitar 45% ketika ini berbanding tinjauan Merdeka Centre sebelum ini yang menunjukkan DAP mendahului dengan 55% sokongan.

Chieng Jen menjangkakan baki 55% kini akan berhijrah kepada BN.

“Kita memulakan langkah dengan 55% dan BN, 45%. Kita mendahului, tetapi kerana PKR, keadaan telah terbalik.

“Sekarang kita perlu bekerja lebih keras dan saya percaya dalam beberapa hari kita akan dapat 51%,” kata Chieng Jen dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat DAP disini hari ini.

Dalam tinjauan sebelum hari penamaan, pengundi dikatakan lebih berkenan kepada DAP berbanding BN atau PKR, namun demi perjanjian dengan PKR, DAP bersetuju untuk melepaskan Batu Kitang.

Bagaimanapun, kerana PKR telah mungkir perjanjian dengan bertanding di lima kerusi yang diingini DAP, parti Roket membuat keputusan untuk mengetengahkan calonnya, Abdul Aziz Isa, ke Batu Kitang.

Chieng Jen menegaskan partinya tidak akan melepaskan Batu Kitang dan meskipun dengan kehadiran PKR, memberi jaminan BN tidak akan menang mudah di situ, seraya mendesak kempen ditumpukan kearah BN dan bukan PKR.

“Kami menentang BN. PKR boleh kata apa sahaja yang mereka mahu, kita tidak akan ambil peduli. Kita akan bertarung sepenuhnya di Batu Kitang dan saya percaya dalam sembilan hari akan menyebelahi kita.”

Ketika ditanya samada benar DAP sekadar menguji keadaan dengan mengetengahkan calon Melayu di kawasan Cina, Chieng Jen menjelaskan perencanaannya adalah mengemukakan ahli pembangkang etnik Melayu yang pertama dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Dari situ, beliau boleh membangkitkan isu-isu penyalahgunaan di Tabung Haji, Baitulmal, serta dasar-dasar kerajaan berkenaan masyarakat Melayu. Ini akan membantu mengelakkan risiko kenyataan kami diputar belit oleh PBB dan menjadikannya isu perkauman.

“Kita mahukan sekat dan imbang. Kerana itu kita letakkan calon Melayu di kawasan Cina, dan menyeru pengundi supaya tidak memilih berdasarkan warna kulit, agama dan kaum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.