Henti kaitkan saya sebagai MB baharu – Mohd Jidin

Henti kaitkan saya sebagai MB baharu – Mohd Jidin

ADUN Permaisuri berkata spekulasi seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan akan menyinggung perasaan terutamanya pentadbiran sekarang ini.

mohd-jidin

KUALA TERENGGANU:
ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee meminta orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi kononnya beliau akan dilantik Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Katanya, spekulasi seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan akan menyinggung perasaan terutamanya pentadbiran sekarang ini.

“Saya ada baca viral tersebut tetapi nasihat saya cukuplah setakat itu, sebab sebarang keputusan mengenai (perlantikan Menteri Besar) tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita seusai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman hari ini.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan itu menambah kesemua EXCO dan wakil rakyat Terengganu memberi sokongan penuh kepada pentadbiran Ahmad Razif.

“Menteri Besar kalau nak ikutkan program dia akan berjumpa dengan semua ADUN BN petang ini (tetapi ditangguhkan), malah secara individu Menteri Besar ada membuat perbincangan (dengan wakil-wakil rakyat) dan berjumpa untuk mendapatkan sokongan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Jidin menegaskan bahawa kesemua EXCO dan wakil rakyat Terengganu akan menghormati segala keputusan daripada Istana.

Pada masa yang sama, Jidin memaklumkan bahawa pertemuan antara Perdana Menteri dan wakil rakyat BN terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baru.

Perdana Menteri dilaporkan akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini bagi membincangkan isu berbangkit.

“Sepatutnya Perdana Menteri akan melakukan perjumpaan dengan semua wakil rakyat BN esok di Kuala Lumpur tetapi ditangguhkan kepada tarikh baharu,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.