Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, walaupun belum ada pengamal media pernah dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan, beliau berkata mereka harus sentiasa berwaspada dan mengelak daripada menerbitkan sebarang tulisan yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menggugat keharmonian yang dinikmati.
“Sebagai negara berdaulat dan merdeka, kita mempunyai hak dan tanggungjawab yang cukup besar dalam mencorak dan menentukan acuan yang paling sesuai untuk rakyat dan negara kita. Apa yang sesuai untuk negara lain tidak semestinya sesuai untuk Malaysia,” katanya ketika berucap pada Jamuan Tengah Hari Bersama Editor dan Pengamal Media di sini, hari ini, lapor Bernama.
Majlis itu yang bertema ‘Media dan undang-Undang: Perspektif Negara’ dianjurkan bersama oleh Institut Akhbar Malaysia dan Institut Pengajian Kewartawanan dihadiri kira-kira 100 pensyarah Institut Pengajian Tinggi, pengarang, penyunting dan wartawan daripada pelbagai syarikat media.
Beliau akui kebebasan bercakap dan bersuara dalam kalangan pengamal media di negara ini tidak mutlak dan tertakluk kepada beberapa sekatan perundangan bagi memelihara keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain dan ketenteraman awam atau prinsip moral.
Sekatan itu selaras dengan artikel 29(2) Pengisytiharan Hak Asasi manusia Sejagat yang digubal bagi mengiktiraf dan menghormati hak dan kebebasan orang lain serta mencapai keperluan moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum dalam masyarakat demokratik.
Dalam pada itu pengamal media turut diingatkan supaya segera menghentikan penyiaran berita tidak bermanfaat dan menentusahkan kebenaran setiap penulisan dalam usaha memastikan ketenteraman awam negara kekal terpelihara.
Apandi Ali berkata keghairahan mendukung prinsip kebebasan hak asasi tidak seharusnya menggadai dan menggugat keharmonian kaum dan agama dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
“Pengamal media perlu sedar bahawa tanggungjawab yang digalas bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan kerana setiap penulisan, pandangan dan laporan yang diterbitkan mampu mencorak pemikiran rakyat Malaysia.
“Adalah amat penting setiap laporan dan penerbitan dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab, kebebasan bersuara perlu diimbangi dengan etika kewartawanan yang baik,” katanya.
Mohamed Apandi berkata penyebaran laporan tidak tepat boleh menyebabkan kerugian, kekacauan dan ketidakharmonian yang tidak boleh diperbaiki, justeru setiap perkataan dan ungkapan hendaklah dibuat dengan berhemah, teliti dan tepat.
“Tidak dinafikan bahawa media hari ini memainkan peranan yang sangat penting dan merupakan medium utama dalam proses penyampaian berita dan maklumat kepada setiap lapisan masyarakat. Era ini, media memiliki kuasa yang amat luar biasa yang mampu mencorakkan pemikiran serta kepercayaan masyarakat dalam sesuatu perkara,” katanya.
