
Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pemberian tunai itu kepada pengamal media berdaftar dengan Kelab Media Johor (KMJ).
Menurutnya, inisiatif khas itu sebahagian daripada 23 komponen di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diperuntukkan lebih RM157 juta.
“BKJ memanfaatkan lebih 330,000 rakyat pelbagai lapisan, termasuk anak yatim, ibu tunggal, petani, pesakit kronik dan warga emas.
“Langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ‘setiap sen hasil negeri dipulangkan kepada rakyat’ serta semangat Bangsa Johor,” katanya menurut Sinar Harian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar.
Beliau berkata, pelaksanaan BKJ mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, selaras agenda Maju Johor yang berteraskan kesejahteraan serta keadilan sosial.
Antara bantuan utama yang diumumkan ialah BKJ anak yatim Johor, iaitu RM2,000 seorang dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang memanfaatkan 12,307 anak yatim dengan peruntukan RM24.6 juta.
BKJ ketua isi rumah miskin tegar dan miskin dengan peruntukan RM19.43 juta akan memanfaatkan 9,714 penerima yang bakal mendapat RM2,000 seorang.
BKJ ibu tunggal pula akan memanfaatkan 48,537 penerima yang akan menerima RM500 seorang, dengan peruntukan RM24.27 juta.
“BKJ petani, penternak dan nelayan, RM400 seorang untuk 33,976 penerima dengan peruntukan RM13.6 juta.
“BKJ pesakit kanser dan dialisis, RM600 seorang dengan peruntukan lebih RM7 juta.”