Kedudukan UMNO di Terengganu terumbang ambing

Kedudukan UMNO di Terengganu terumbang ambing

UMNO mempunyai tiga pilihan untuk menyelesaikan krisis antara Sultan Terengganu dan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Syed-Azman-Syed_terangganu_umno_600

PETALING JAYA :
Kedudukan UMNO di Terengganu terumbang ambing berikutan krisis melibatkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok dari PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, UMNO mempunyai tiga pilihan untuk menyelesaikan krisis iaitu menukar Menteri Besar baharu, membentuk kerajaan perpaduan dengan PAS atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya mengadakan pilihanraya negeri.

Menurutnya, walaupun UMNO mempunyai kedudukan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kemelut dalaman kepimpinan parti tersebut perlu diselesaikan segera.

“Kerana rata-rata rakyat awam sudah terlalu muak dengan sikap terlalu banyak ‘berpolitiking’ sedangkan rakyat kini dihimpit dengan tekanan kos kehidupan termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang amat membebankan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Syed Azman berkata, kemelut UMNO di Terengganu bagaikan tidak berkesudahan sehingga menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakyat.

“Dan menjadi persoalan ramai kalangan rakyat Terengganu sendiri kerana kemelut dalaman kepimpinan UMNO Terengganu yang tidak berkesudahan,” tegasnya.

Sultan Mizan mengumumkan baginda melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa 22 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama hari ini.

Ahmad Rafiz dalam reaksinya berkata, beliau redha dengan keputusan itu dan tetap setia kepada Sultan Mizan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.