Bantu kerajaan tangkis persepsi negatif – Rosmah

Bantu kerajaan tangkis persepsi negatif – Rosmah

Mereka juga perlu menyebar luas dasar serta hasrat kerajaan secara terus kepada masyarakat.

rosmah

PUTRAJAYA:
Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) harus berperanan dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi menangkis persepi negatif terhadap kerajaan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, mereka juga harus menyebar luas dasar serta hasrat kerajaan secara terus kepada masyarakat.

Katanya, sektor perkhidmatan awam kini berhadapan dengan realiti semasa yang mana terasnya adalah untuk menyampaikan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada rakyat.

“Sebagai satu-satunya persatuan yang mana ahli-ahlinya merupakan penjawat awam dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, yang mana penting ialah kesetiaan dan kesungguhan ahli-ahli Puspanita dalam memahami serta mendukung cita-cita kerajaan.

“Sentiasa teguh berdiri sebagai tulang belakang pentadbiran dalam apa juga keadaan mahupun rintangan sewaktu susah atau senang bagi melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita ke-34 di Puspanitapuri di sini.

Rosmah dalam pada itu melihat Puspanita memainkan peranan yang berkesan sebagai rakan strategik dengan pelbagai kementerian, agensi, sektor korporat dan pelbagai badan bukan kerajaan.

“Saya percaya pendekatan seperti ini, maka Puspanita dapat bergerak dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial seterusnya memartabatkan peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan negara,” katanya.

Dengan keanggotaan lebih 80,000 orang di seluruh negara, isteri perdana menteri percaya Puspanita mampu memainkan peranan penting dalam menggerakkan perpaduan dan keharmonian negara memandangkan negara berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi politik dan ekonomi.

“Justeru, saya menyarankan agar Puspanita meluaskan kerjasama atau jalinan strategik dengan pelbagai pihak dalam menjayakan sebarang program kerana ‘unity is a great strength,” tegas beliau.

Rosmah turut menasihatkan anggota Puspanita agar bekerja secara muafakat atas semangat kekeluargaan dan bukannya bekerja dalam silo, dalam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada masyarakat sejagat.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.