
Begitu kata saintis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faisal S Hazis menyimpulkan pertandingan pelbagai penjuru antara DAP dan PKR dalam pilihan raya negeri Sarawak.
Mengulas perkelahian sesama rakan Pakatan Harapan di Mambong, Batu Kitang, Simanggang dan Mulu, Faisal berkata kepimpinan pembangkang baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan nampaknya gagal melihat gambaran yang lebih besar.
Maksudnya, mengutamakan pembentukan perikatan pembangkang yang berdaya maju, bukan sekadar pertahan atau perbanyakkan kerusi semata-mata.
“Ini menunjukkan terputusnya kepimpinan Pakatan Harapan di peringkat kebangsaan dengan kepimpinan negeri,” katanya, dan menyifatkan perjanjian pilihanraya antara parti-parti pembangkang yang bercakaran ini merupakan satu “keajaiban”.
Faisal bagaimanapun berpendapat perkelahian ini akan menyukarkan pembangkang di kerusi-kerusi bertindih, ia belum tentu menjamin kemenangan BN.
“Satu lagi dinamik yang perlu diambil kira adalah perkelahian sesama BN dan parti-parti pecahan pro-BN di kawasan-kawasan yang menjadi pertelingkahan antara mereka,” katanya merujuk kepada percakaran antara SUPP-UPP dan SPDP-TERAS.
Faisal berkata di penamaan calon DUN Batu Kawah hari ini, bekas pengerusi bahagian UPP Liu Thian Leong yang akan bertanding sebagai calon bebas nampaknya membawa lebih ramai penyokong ke pusat penamaan berbanding Presiden SUPP, Prof Dr Sim Kui Hian dan penyandang DAP, Christina Chiew.
Malah, di DUN Batu Kitang dan Bawang Assan, calon-calon bebas yang bertanding di kedua kawasan itu didakwa punyai kaitan dengan PBB.
DAP dan PKR akan bertembung meskipun perjanjian Pakatan Harapan antara lain berjanji untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN dalam semua pilihan raya.
Minggu lalu, DAP dilaporkan akan mungkir perjanjian pengagihan kerusi sekiranya PKR berbuat demikian, dan Pengerusi DAP SaraWak, Chong Chieng Jen menyeru PKR supaya akur persetujuan yang telah dicapai antara mereka.
Ahad lalu, Chong menegaskan DAP akan bertanding di kerusi Batu Kitang, yang telah diberikan kepada PKR sekiranya parti itu meletakkan calon di kerusi Tasik Biru, Mambong, Simanggang, Bukit Semuja dan Mulu, disamping calon yang telah diumumkan DAP.
Terdahulu, Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian tidak berpuas hati kerana pemimpin DAP dan PKR peringkat kebangsaan, iaitu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menyimpang daripada pengagihan kerusi yang telah dipersetujui oleh PKR Sarawak dan DAP Sarawak.